Nuha Rahim
Mon Jul 07, 08 5:57:04 pm MYT
Bidang pendidikan terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dilihat seolah-olah menjadi korban kepada politik dan ekonomi sesetengah pihak, kata Taib Azamuddin (PAS-Baling) di dalam Dewan Rakyat hari ini ketika sesi perbahasan kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia kesembilan(RMK9).
"Antara natijahnya termasuklah pusat-pusat pengajian tinggi negara menjadi semakin tidak mampu diperkasakan peranannya serta tidak berupaya melahirkan generasi-generasi berfikiran kritis dan inovatif. Hakikatnya, perkara ini disuarakan oleh golongan sarjana dan cendikiawan-cendikiawan negara dalam seminar-seminar yang dianjurkan, "tambahnya.
Lebih malang lagi, jelas Taib, kerajaan seolah-olah dilihat tidak berminat untuk membebaskan mahasiswa daripada menjadi mangsa rakusan keuntungan pihak tertentu.
Bebanan yang ditanggung sebelum, semasa dan selepas belajar di institusi pengajian tinggi dilihat mampu merencatkan usaha dalam mengembangkan daya intelek, rohani dan jasmani mahasiswa kini,katanya.
"IPT seharusnya mendokong visi dan misi pendidikan yang jelas. Namun, realiti adalah sebaliknya hasil korbanan dan pengaruh unsur-unsur politik dan juga keuntungan semata-mata,"tegas beliau.
Selain itu, Taib turut membangkitkan isu kadar peratusan kemiskinan tegar yang semakin memuncak di Malaysia.
Kawasan-kawasan seperti Baling, Pengkalan Hulu dan Sik yang disifatkan kawasan perbatasan, perlu diberi penekanan untuk dimajukan,jelasnya.
"Rakyat di kawasan-kawasan perbatasan inilah yang mempertahankan negara ketika berlakunya darurat pada tahun 1974. Tetapi, sehingga saat ini mereka dinafikan hak untuk mendapat kemudahan-kemudahan seperti jalan raya. Persoalannya, layakkah rakyat yang telah membuktikan rasa cintanya kepada negara mendapat layanan sebegini rupa?"soalnya.
Terangnya lagi, cuba bayangkan hanya ada sebatang jalan raya yang menghubungkan antara pekan Baling dan pekan Sungai Petani yang jaraknya lebih kurang 45kilometer melalui Kuala Ketil.
"Lampu-lampu jalan tiada. Bahkan pekan Baling boleh diklasifikasikan sebagai pekan 'cowboy'. Namun begitu, keadaan yang daif ini tidak pula menjentik pihak kerajaan untuk mengembling usaha bagi mempertingkatkan kemudahan untuk rakyat jelata, "tegas beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment